Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh  
 

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Laman Web, Jabatan Kerja Raya Daerah Segamat kerana memberi ruang kepada saya menyampaikan kata-kata aluan dalam pelancaran Laman Web JKR Daerah Segamat.

Sebagaimana sedia maklum Laman Web Jabatan adalah merupakan media untuk menyampaikan maklumat-maklumat, risalah-risalah, program-program dan apa juga perkara yang melibatkan jabatan kepada umum khususnya kakitangan Jabatan dan pelanggan yang sering berurusan dengan JKR (D) Segamat.
Disamping mendedahkan fungsi dan peranan Jabatan kepada pelanggan / kakitangan JKR ianya juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan maklumbalas kakitangan JKR dan pelanggan, supaya interaksi dua hala antara Jabatan dan pelanggan / kakitangan JKR dikekalkan.
Cara sebegini akan dapat menjalinkan serta mempereratkan lagi pertalian antara pegawai-pegawai dan warga JKR Segamat dengan pelanggan.
Saya dengan penuh yakin dan percaya, melalui laman web ini kakitangan JKR Segamat akan mendapat faedah perkongsian pengalaman disamping memupuk semangat Setiakawan, Perpaduan dan Persefahaman di kalangan warga JKR Segamat dan pelanggan-pelanggan.
Semangat berpasukan atau “Team Spirit” amatlah penting kerana ia mengukuhkan sesebuah organisasi dan menjadikannya sebuah organisasi yang efisien dan cemerlang sepertimana dapat dibuktikan dalam JKR Segamat sendiri yang kini mempunyai pengalaman melebihi 70 tahun (sejak tahun 1933).
Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada Jawatankuasa Laman Web dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penerbitan Laman Web JKR (D) Segamat ini. Semoga segala usaha tuan/puan diberkati Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih.

IR. AZIZAN BIN DAHARI
JURUTERA DAERAH
JKR SEGAMAT